Isnin, 21 Jun 2010

PILIHANRAYA AWAL TIDAK PERLU

Baru-baru ini terdapat kajian dari sebuah agensi yang membuat kajian berhubung tahap sokongan rakyat kepada kepimpinan YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan Kerajaan dan kepimpinannya yang mengatakan sokongan kepada Kerajaan telah mencapai lebih 70% dan mencadangkan supaya masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya lebih awal.

Pendapat ini turut disokong oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad yang turut bersetuju pilihanraya dibuat lebih awal memandangkan prestasi Kerajaan sekarang telah mendapat keyakinan dan maklum balas yang baik dari majoriti rakyat.

Kenyataan dan kajian ini mungkin melegakan pemimpin BN, dan sehari selepas itu Dato' Seri Najib telah memberi ulasan bahawa Pilihanraya tidak perlu diadakan tergesa-gesa oleh kerana Kerajaan BN yang ada sekarang mempunyai masa untuk berbuat demikian.

Beliau juga telah mengatakan walaupun BN telah kembali diterima masyarakat, tidak semestinya pilihanraya diadakan lebih awal kerana fokus BN untuk mempastikan pembangunan negara dan rakyat akan terus diperhebatkan dan ingin membuktikan komitmen BN kearah itu, setelah semua janji-janji dilaksanakan barulah pilihanraya akan diadakan dan Kerajaan ketika itu akan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai prestasi Kerajaan untuk diterjemahkan melalui proses mengundi dalam pilihanraya bagi mendapatkan semula mandat rakyat.

Bagi penulis, walaupun saranan dan cadangan pilihanraya awal ada petanda yang memungkinkan BN diterima rakyat tetapi kajian dan perancangan perlu sebelum proses pilihanraya kecil dijalankan.

Masih banyak pekara yang perlu diperbaiki terutama oleh parti-parti kompenan BN seperti UMNO, MCA dan MIC dalam menarik kembali sokongan rakyat, walaupun rakyat telah menerima kepimpinan YAB Dato' Seri Mohd Najib selaku PM dan teraju BN. Krisis demi krisis yang berlaku dalam MCA dan isu penghakisan kepercayaan terhadap kepimpinan oleh masyarakat india kepada Presiden mereka masih belum reda lagi dan perlu diselesaikan segera.

Isu seperti kepentingan dan sentimen kaum dengan wujudnya PERKASA, Dong Zhou, Hinddraf dan pelbagai persatuan yang mewakili kaum perlu ditangani dengan bijak kerana badan-badan ini mempunyai kepentingan tertentu dan kadang kala mereka juga berperanan membentuk sokongan etnik masing-masing bagi menentukan kemenangan dalam sesuatu pilihanraya.

Oleh itu, semua pihak perlulah akur dan menerima hakikat bahawa pilihanraya awal tidak perlu diadakan sekarang dan wajar kita semua menyahut seruan Perdana Menteri agar bersama-sama beliau menumpu dan membangunkan negara dan membela rakyat kerana rakyat sedang menilai dan memerhati setiap tindakan yang dilakukan oleh BN, bak kata PM "Jika Kita Tidak berubah, Kita akan di Ubah...,"

FIKIR-FIKIRKANLAH....